Selasa, 12 April 2016

RINGGIT YANG MASIH MEMBELIT DAN MENGGIGIT

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca semua...

Saya mohon maaf kerana lama tidak membuat apa-apa catatan dalam blog saya ini. Saya sebenarnya sedang membuat pembetulan apa-apa kesilapan dan kesalahan yang telah menyebabkan saya terjerumus dalam jurang yang dalam. Saya mendapat semangat apabila berjumpa dengan ramai orang yang menceritakan yang mereka juga pernah melalui detik hitam seperti saya walaupun sebabnya berbeza tetapi sekarang telah berdiri semula malah lebih tegap daripada sebelum jatuh dahulu.

Saya cuba tabahkan diri walaupun hakikatnya saya sedang melalui satu lagi ujian. Majikan saya yang kononnya pada masa saya bermasalah menyatakan rasa simpati dan sedia bekerjasama untuk membolehkan saya menyelesaikan masalah saya dengan lebih cepat sebenarnya menambah lagi masalah saya. Dia mengambil tindakan mengeluarkan saya daripada sistem pembayaran gaji secara otomatik dan mengarahkan saya membayar balik gaji saya bagi satu jumlah hari yang dinyatakan beliau sebagai hari saya tidak bertugas. Dia kumpulkan semua dari tahun saya mula berpindah ke tempat saya bekerja sekarang.

Tidak dinafikan mungkin terdapat hari-hari yang saya terlepas daripada memohon cuti atau menghantar surat sakit ketika menghadapi masalah saya tempoh hari. Tetapi lebih malang dia tambah lagi dengan mencari mana-mana hari yang saya tiada di pejabat kerana menjalankan tugas dengan Jabatan Pertahanan Awam. Itu pun bukan tugas operasi Pertahanan Awam sebaliknya berkaitan dengan pengurusan Kadet Pertahanan Awam yang sememangnya menjadi tugasan penting saya. Alasannya saya telah keluar meninggalkan tugas hakiki terlalu banyak dan saya telah bertugas di luar pejabat tanpa kebenaran beliau.

Tambahan pula pada akhir persekolahan tahun 2015, bapa mertua saya telah mengalami stroke sebanyak dua kali. Kali pertama kami semua berusaha memulihkannya dan hampir berjaya. Dia telah bercakap dan mampu untuk berjalan semula. Malangnya dia diserang stroke sekali lagi. Puncanya saya sendiri pun tak tahu. Pihak hospital menjangka bapa mertua saya telah jatuh di rumah namun tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana semua orang termasuk saya bekerja ketika itu.

Selepas keluar dari wad, tiada siapa yang menjaga bapa mertua saya di rumah. Ada seorang kakak ipar yang tidak bekerja dan tinggal di Shah Alam. Oleh kerana mengenangkan betapa baiknya bapa mertua kepada saya, saya usahakan untuk mengambil kakak ipar saya itu setiap hari kerana kebetulan saya juga menghantar anak ke UiTM Shah Alam setiap hari.

Apabila mengambil kakak ipar, saya terpaksa menghantarnya pula ke rumah bapa mertua. Keadaan ini menyebabkan saya lambat sampai ke tempat kerja. Sedangkan sebelum ini saya hanya menghantar anak UiTM dan akan terus ke tempat kerja. Saya tidak pernah lewat. Oleh kerana terpaksa berpatah balik menghantar kakak ipar ke rumah bapa mertua, saya telah terlewat masuk kerja hampir dua bulan dan telah juga menjejaskan prestasi saya. Ini telah menguatkan lagi alasan majikan untuk mengambil tindakan keatas saya.

Dengan mengeluarkan saya daripada sistem pembayaran gaji otomatik maka saya tidak mendapat gaji pada waktu yang sepatutnya. Ada kalanya sampai 3 bulan tidak mendapat gaji. Tanpa mendapat gaji banyaklah perkara yang tergendala dan tertangguh. Mereka tidak berfikirkah bahawa cara yang mereka ambil ini bukannya dapat memperbaiki prestasi mana-mana kakitangan yang bermasalah. Tambahan pula saya bukanlah kakitangan yang bermasalah sebelum ini. Saya cemerlang dalam tugasan saya sebelum terperangkap dengan masalah tersebut. Keadaan seperti ini hanya akan menyebabkan kakitangan yang bermasalah lebih bermasalah lagi dan prestasi kerja akan semakin teruk.

Saya yang sebelum ini bukannya orang yang bermasalah sedaya upaya berusaha untuk terus bangun. Saya usahakan cara-cara lain mendapatkan sumber kewangan untuk membayar bil bil dan keperluan kewangan anak untuk bersekolah dan belajar di universiti. Kalaulah saya jenis orang yang memang bermasalah dalam menjalankan tugas sebelum ini, keadaan ini akan menyebabkan saya terus bermasalah dan akan merosakkan organisasi yang saya berada sekarang.

Dalam usaha saya mengatasi masalah ketiadaan gaji saya telah menjalankan perniagaan di kawasan chellet dan tempat memancing yang saya usahakan dengan rakan kongsi saya. Kami bersahabat sejak 20 tahun yang lalu dan sentisa bersama dalam apa juga keadaan senang susah.

Beberapa bulan lalu keadaan kesihatan rakan kongsi saya itu sangat tidak memuaskan. Dia koma beberapa hari di hospital tetapi masih mengingatkan saya perlunya mempertahanankan chellet dan tempat memancing ini daripada jatuh ke tengan orang lain tambahan pula ketika itu tempoh hak kontrak kami keatas tempat itu sudah hampir tamat.

Ketika koma, isteri beliau telah mengambil alih banyak urusan termasuk hal-hal berkaitan chellet dan tempat memancing tersebut. Sememangnya kami tidaklah mendapat keuntungan daripada tempat tersebut. Isteri beliau terus terang menyatakan ketidak sanggupannya untuk meneruskan mengurus tempat tersebut. Dia rela tempat tersebut diambil alih oleh pihak lain.

Sebagai sahabat saya tetap memegang pesanan rakan kongsi saya itu agar mempertahanankan tempat tersebut. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk menghantar surat tunjuk minat bagi menyambung kontrak mengurus dan menjaga tempat tersebut walaupun isteri rakan kongsi tersebut menyatakan ia tidak sanggup lagi menanggung kerugian. Tidak dinafikan rakan kongsi saya mengeluarkan lebih banyak kewangan daripada saya dan seorang lagi rakan kongsi. Namun saya tekat untuk meneruskannya walaupun akan menanggung risiko kerugian itu tanpa rakan kongsi yang pada masa itu koma di hospital.

Kepada seorang lagi rakan kongsi saya menyatakan kalaulah sahabat yang koma ini sedar dan pulih dan kemudian ingin meneruskan perkongsian kami tidak ada sebarang masalah walaupun isterinya telah membuat keputusan bagi pihaknya untuk tidak meneruskan kontrak tersebut. Rakan kongsi yang seorang lagi menyetakan persetujuannya walaupun sebenarnya dia kelihatan lebih gembira jika sahabat saya itu tidak bersama kami lagi.

Seperti apa yang dijangka, apabila sahabat saya itu sedar dia menyatakan tidak pernah hendak mengundur diri daripada tempat itu. Untuk menjaga hubungan suami isteri saya tidak menyatakan bahawa isterinya telah menyatakan ketidak sanggupannya. Kami tanpa apa-apa soal terus saja menerimanya. Cuma kelihatannya rakan kongsi yang seorang lagi tidaklah begitu setuju dan tidak gembira dengan keadaan itu namun dia terpaksa bersetuju juga. Apa yang dizahirkannya jelas... kerana selepas itu dia lansung tidak muncul di chellet dan tempat memancing tersebut.

Namun apa yang menyedihkan ketika ini isteri beliaulah yang membuat keputusan untuknya semula kerana kesihatannya yang semakin merosot. Isterinya mula sedar bahawa nama dalam daftar syarikat adalah nama suaminya sahaja kerana sebagai kakitangan kerajaan saya tidak boleh sama-sama berkongsi menubuhkan syarikat secara terang-terang. Maka atas kepercayaan sebagai sahabat, saya percayakan dia dan tidaklah meminta nama saya dimasukkan sama dalam daftar syarikat.

Mereka membuat keputusan membuang pekerja lama kerana katanya kerugian ini banyak disebabkan pekerja sebelum ini yang tidak jujur. Dilantiknya pekerja baru yang juga telah biasa dengan keadaan di sana dan menyatakan seolah-olah tempat tersebut milik suaminya sahaja dan saya serta rakan kongsi yang seorang lagi tidak ada hak di situ. Buktinya dalam daftar syarikat nama kami berdua tidak ada.Pekerja tersebut diberi kebebasan dan kuasa sepenuhya melebihi saya. Malah saya kene minta izin untuk membuat apa-apa perkara di situ. Memang saya terperanjat pada mulanya tapi saya tetap bersangka baik dengan rakan kongsi saya itu.

Bermulalah episod mereka menyembunyikan segala pendapatan yang diperolehi syarikat. Saya tidak boleh melihat apa-apa dokumen berkaitan pendapatan.Malah terdapat banyak usaha untuk menyebabkan saya mengambil langkah sama seperti rakan kongsi yang seorang lain. Jika saya tidak masuk ke tempat itu, maka mudahlah mereka menyingkirkan saya. Memang itulah yang saya dengar. Namun saya tetap percaya bahawa rakan kongsi saya tidak akan belot kepada saya seperti itu.

Rupa-rupanya nilai persahabatan saya dengan rakan kongsi tersebut yang saya sangkakan sangat tinggi nilainya dan perlu dipertahanakan tidaklah benar. Nilainya sangat rendah. Nilainya boleh diukur dengan duit. Benarlah DUIT SEMEMENGNYA MENGGIGIT DAN MEMBELIT.

Saya memimjam duit syarikat untuk menyelesaikan masalah kereta saya kerana saya tidak mendapat gaji. Bukannya saya minta...saya pinjam. Sebagai rakan kongsi sepatutnya saya boleh minta. Malah saya dimaklumkan oleh pekerja kami bahawa kutipan sepanjang 3 - 4 bulan selepas kontrak baru ditandatangani sangatlah memberangsangkan. Dalam tempoh tersebut ada keuntungan yang diraih oleh syarikat. Saya lansung tidak dimaklumkan kerana pekerja diarah merahsiakannya daripada pengetahuan saya. Kerana tidak lagi mendapat gaji saya tangguhkan pembayaran balik kepada syarikat kerana saya rasa saya juga ada hak ke atas pendapatan syarikat.

Maka pelbagai kenyataan mula dinyatakan secara terang-terangan... yang paling menyentuh perasaan saya ialah kenyataan pekerja yang tidak pula dinafikan oleh rakan kongsi saya itu mahupun isterinya. Katanya " Kami difahamkan bahawa En Din tidak ada sebarang hak di sini. Berniaga di sini adalah atas ehsan En Fuad atas sedikit jasa-jasa Encik Din pada masa lalu "

Malah ada juga kenyataan yang lebih biadap " Jangan bawa masuk budak-budak ke sini. Bawalah ke tempat lain ". Kenyataan dibuat pada ketika saya sedang menguruskan pelajar masuk untuk menjalani program di tempat itu. Saya yang memerah otak membuat segala kertas kerja dan membentangkannya kepada pihak pemilik tempat tersebut dan berjaya mendapatkannya dihalang masuk dengan begitu biadap sekali... Oleh pekerja tempat itu pula, yang sepatutnya mendengar arahan saya sebagai rakan kongsi utama di situ. Tapi rakan kongsi saya telah belot dan mengkhianati saya. Mereka suami isteri telah memberi sepenuhnya kuasa kepada pekerja tanpa pengetahuan saya dan seorang lagi rakan kongsi. Sebelum ini saya melihat perkara begini berlaku dalam drama-drama TV tetapi kini saya melaluinya.

Sebelum mendapat tempat tersebut sayalah yang membuat kertas kerja dan membentangkannya kepada pihak PNSB pemilik tempat tersebut. Dalam kertas kerja tersebut saya menekankan bahawa tempat tersebut akan digunakan bagi membentuk dan membina modal insan dengan mengadakan pelbagai program latihan, kursus, perkhemahan dan seumpamanya kepada golongan belia khususnya pelajar sekolah. Kerana itu jugalah pihak kami diberi kepercayaan untuk mengambil alih tempat tersebut walaupun ada banyak pihak juga berminat termasuklah syarikat-syarikat besar yang sememangnya berkemampuan mengurus tempat tersebut. Walaupun baru ditubuhkan, dengan akaun baru dibuka, kami tetap dipilih oleh PNSB. Maknanya kami dipilih bukan kerana kekuatan kewangan tapi kerana kekuatan kertas cadangan yang saya sedia dan bentangkan. Alangkah sedihnya sekarang mereka sedang sedaya upaya menyingkirkan saya.

Sekarang saya sudah berhenti berniaga di situ... dan DUIT TERUS MENGGIGIT DAN MEMBELIT!!!