ISU-ISU BERBANGKIT
Kini saya ingin menyambung catatan pengalaman saya seperti yang saya janjikan dahulu. Kali ini saya ingin kongsikan isu-isu yang timbul ekoran daripada peristiwa yang menimpa saya tempoh hari. Banyak juga pengajaran yang saya perolehi dan boleh kita sama-sama kongsikan.1. KETAKUTAN ORANG POLITIK
Orang politik rupa-rupanya sangat takut apabila berhadapan dengan kes-kes yang berkaitan dengan duit. Saya telah menemui beberapa orang politik dari yang hanya ada kedudukan dalam parti hinggalah yang ada tempat dan kedudukan dalam barisan kerajaan.
Saya telah menempuh pengalaman yang sangat mengecewakan ketika berurusan dengan mereka. Ada yang memberi alasan sudah tidak bekerja lagi...dah pencen, macam manalah nak berikan pertolongan. Bukankah semua ahli politik memang sepatutnya pencen daripada apa-apa pekerjaan dan seharusnya fokus dalam hal politik supaya boleh membantu rakyat? Bukankah saya juga rakyat yang perlukan bantuan?
Ada juga yang berikan alasan memang tidak ada dalam agenda mereka untuk memberi pertolongan kepada kes-kes begini. Mereka nasihat cubalah cari NGO atau badan-badan yang berkaitan yang boleh memberikan bantuan. Kesimpulannya, kita hanya akan ada dalam agenda mereka ketika pilihanraya sahajalah nampaknya.
Malah ada juga yang mengatakan tak dapat membantu kerana ada terlalu banyak komitmen. Bukankah sebagai ahli politik dan menjadi pemimpin sememangnya akan mempunyai banyak komitmen? Macam mana nak jadi pemimpin tetapi tidak bersedia berhadapan dengan banyak komitmen?
Malah ada yang beri alasan lebih mengecewakan. Mereka tidak dapat membantu kerana ini boleh membunuh kerjaya politik mereka kerana kalau musuh-musuh mereka tahu, macam-macam cerita boleh diputar belitkan, katanya.
Malah ada yang beri alasan lebih mengecewakan. Mereka tidak dapat membantu kerana ini boleh membunuh kerjaya politik mereka kerana kalau musuh-musuh mereka tahu, macam-macam cerita boleh diputar belitkan, katanya.
2. KAUNSELOR - MENERIMA TANPA SYARAT?
Saya juga ada meminta bantuan daripada kaunselor - terkenal jugalah orangnya. Selalu juga muncul di kaca TV. Dulu saya bergiat aktif dalam aktiviti kaunseling walaupun saya lebih tertumpu sebagai jurulatih untuk aktiviti lasak. Sepanjang tempoh itu, dalam pengamatan saya perkhidmatan kaunseling banyak yang bersifat teori sahaja - mudah dicakapkan tapi belum tentu dapat dilaksanakan. Malah pengamal-pengamal bidang ini sendiri pun hanya bercakap sedangkan mereka sendiri tidak mengamalkannya. Sesetengahnya terutama yang sudah popular lebih berorentasikan perniagaan daripada perkhidmatan.
" Penerimaan Tanpa Syarat " antara kata-kata indah dan keramat bidang kaunseling yang sering kita dengar. Namun saya telah hilang kepercayaan kepadanya. Masakan tidak, kali pertama saya menghubungi kaunselor ini, dia menjawab dengan cukup pantas. Fikiran tak elok saya ialah tentunya dia sangka panggilan ini hendak menjemputnya berceramah atau mengendalikan program yang akan membawa pulangan ringgit, ringgit dan ringgit!.
Apabila saya nyatakan tujuan dan sebab saya menghubunginya dengan segera dia kata sedang bersedia nak masuk dewan untuk ceramah dan minta saya menghubunginya semula. Alangkah kecewanya apabila dihubungi semula selepas itu, dia tidak menjawab lansung. Hantar sms pun tak berbalas. Apabila dihubungi lagi beberapa kali, pembantunya pula yang menjawab dan menapis panggilan serta menentukan boleh atau tidak bercakap dengan kaunselor berkenaan. Maka kata-kata keramat itu pun berkuburlah...
3. PENYEBARAN CERITA TOKOK TAMBAH DAN PALSU
Sebagai seorang yang diamanahkan dengan jawatan dalam bidang pentadbiran tetapi kelihatan lemah dan bermasalah, saya akui banyak orang yang seronok menyebarkan cerita-cerita yang disensasikan tentang diri saya. Saya tidak terkejut dan memang bersedia. Barangkali ada yang hendak melihat kita jatuh atau ada juga yang hanya seronok untuk menyebar cerita tanpa apa-apa tujuan negatif. Apa pun tujuannya memanglah ia telah menjejaskan saya.
Seingat saya, saya tidak pernah berbuat begini kepada sesiapa pun samada dia rakan rapat atau tidak. Saya berpegang kepada " kalau tidak boleh membantu, janganlah pula menambah masalah ".
Tukang-tukang karut ini menyebarkan pelbagai cerita tentang saya bukan sahaja di tempat saya bekerja malah ke tempat-tempat lain juga. Biasalah, bercerita tentang peribadi, masalah dan aib orang lain adalah hiburan yang amat menyeronokkan - baik yang bercerita mahupun yang mendengar. Ia semakin lazat lagi apabila ditambah pelbagai perasa di sana sini.
Tidak mengapalah... saya sentiasa memaafkan mereka. Semoga saya akan diberi kekuatan diri untuk menghadapai semua ini. Untuk memperjelaskan kepada semua orang tidak mungkin dapat saya lakukan.
4. KERETA BURUK MERCEDES C180
Gambar hiasan...kereta saya yang menjadi isu adalah daripada model yang sama.
Kebetulan saya memiliki sebuah kereta Mercedes model C180 tahun 2004. Bukanlah kereta baru. Saya membelinya kerana terpaksa menjual sebuah MPV yang berisiko untuk rosak yang akan menyebabkan saya menanggung kos baik pulih yang sangat tinggi. Saya akhirnya memilih kereta tersebut kerana mempertimbangkan nilai jualan balik yang saya mungkin boleh dapat jika dijual semula nanti dan ketahanan enjinnya.
Namun ia menjadi isu juga. Ada yang kata dalam keadaan yang susah ini pun saya masih memakai kenderaan mewah. Saya dikatakan sukakan kepada jenama mewah kerana itulah masalah timbul. Saya sepatutnya menjual sahaja kereta itu kata mereka.
Mewah sangatkah kereta buruk ini? Nilainya tak sampai pun RM 50K. Cukai jalan yang saya bayar untuk setahun hanyalah RM230.00 dan saya hanya memerlukan RM15.00 untuk perjalanan pergi balik dari rumah saya ke Kuala Lumpur. Kos servisnya pun sama sahaja dengan kereta-kerta lain. Ini sahajalah antara harta yang dapat saya pertahanankan. Inilah kereta untuk saya bergerak dan memberi sedikit keselesaan kepada keluarga saya.
5. PRESTASI KERJA YANG MERUDUM
Semua rakan-rakan yang mengenali saya memang dapat membezakan keadaan saya pada waktu ini. Saya akui banyak terjejas disebabkan masalah yang sedang saya hadapi. Keadaan sekarang sebenarnya jauh lebih tertekan berbanding semasa saya diserang oleh penipu-penipu tersebut. Apa tidaknya sekarang saya diserang oleh saudara mara dan rakan-rakan pula. Mereka menuntut hutang mereka dengan cara lebih teruk daripada sipenipu itu. Mereka menggunakan kata-kata kesat malah ugutan juga.
Saya sedang mengurus diri saya sendiri supaya saya boleh mengurus masalah yang ada. Kepada mereka yang saya berhutang, saya tidak pernah lupa. Saya hanya perlukan sedikit masa sahaja lagi bagi menguruskan hal ini.
Situasi sekarang menyebabkan saya tertekan. Saya jadi tidak sihat. Stress yang teruk menyebabkan tekanan darah saya tidak stabil. Saya sangat bimbang jika kesihatan saya terjejas, saya tidak dapat mencari jalan penyelesaian kepada semua masalah yang timbul. Demi mengawal stress dan tekanan teruk yang saya hadapi saya sering juga meminta untuk keluar dari tampat kerja. Saya juga mengambil cuti rehat dan cuti sakit yang agak kerap. Jika tidak saya akan jadi bertambah teruk.
Saya mengharapkan pemahaman semua pihak yang berkaitan. Berilah saya sedikit masa untuk mengurus semula diri saya. Saya pasti apabila semua permasalah ini selesai saya akan bangun semula sepertimana saya waktu lalu malah akan berdiri lebih tegap lagi untuk menabur bakti kepada anak bangsa, negara dan keluarga saya. Amin...

Tiada ulasan:
Catat Ulasan